Sunday, September 13, 2009

Hasad Dengki Perosak Perpaduan dan Kemajuan

Hasad dengki adalah musuh utama yang harus manusia lawan. Oleh kerana ia terletak dalam hati masing-masing, maka tiada siapa boleh membantu manusia itu untuk melawan hasad dengki, melainkan dirinya sendiri.

Hasad dengki adalah perosak perpaduan dan kemajuan. Sesuatu kaum tidak akan bersatu-padu dan maju jika hasad dengki mereka semakin membakar. Mereka akan berusaha untuk jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain bagi memuaskan hawa nafsu sendiri. Mereka tidak boleh bersepakat untuk membuat tindakan bersama bagi memajukan sesama mereka. Bila mereka lihat ada saudaranya yang dilebihkan kurniaan daripada Allah kerana kerja kerasnya, golongan pendengki itu berusaha menjatuhkannya.

Kejayaan kaum Cina di negara kita hanya disebabkan keupayaan mereka melawan hasad dengki dalam diri mereka masing-masing. Sehingga mereka boleh berganding bahu memperjuangkan legasi kaum mereka yang asalnya pendatang. Begitulah yang mereka pelajari dari kejayaan kaum Yahudi di Israel sana. Asal keturunan Israil itu juga adalah pendatang di Palestin, tetapi kerana ketika itu orang yang mengaku Islam di sana kuat mendengki sesama sendiri (malah sehingga ke hari ini), mudah keturunan Israil sana menguasai sebahagian tanah yang kini menjadi negara mereka.

Oleh itu patutkah kita salahkan mereka atas usaha kuat mereka melawan penyakit hasad dengki? Sepatutnya kita belajar daripada mereka macam mana mereka boleh berjaya. Satu perkara yang memalukan orang Islam hari ini, mereka ada Al Quran yang ajar bagaimana cara melawan hasad dengki, tetapi sesama mereka saling berdengki. Kemudian melihat kejayaan kaum lain pun mereka dengki. Betapa kotornya hati mereka. Macam manalah Allah nak tolong orang Islam hari ini sebab apa yang Allah ajar dalam Al Quran tidak mahu mereka ikut?

Di sinilah pentingnya kita belajar kenal diri sehingga kita mampu melawan hasad dengki sebelum penyakit itu merosakkan jiwa kita sendiri, kerana yang nampak dalam hati kita adalah kita sendiri. Manusia yang mati bersama penyakit hasad dengki tetap akan masuk neraka biarpun mereka mengaku Islam. Jika mereka menganggap dengan akuan Islam mereka sudah cukup mengharapkan syurga biarpun hati penuh kedengkian, sudah pasti tidak adil bagi iblis yang mendengki tetapi masuk neraka. Jadi atas Keadilan Allah, samada manusia itu mengaku Islam atau tidak, asalkan mereka mati dalam keadaan berhasad dengki, pasti mereka akan masuk neraka. Melainkan mereka yang berjuang ke arah melawan penyakit hati, maka tiada keraguan dan ketakutan kepada mereka untuk menemui mati.

Bila kita faham bahawa hasad dengki ini musuh utama, maka kita akan faham seluruh ajaran Al Quran. Kenapa kita disuruh bersolat yang matlamatnya agar kita mencegah kemungkaran? Sebab hanya orang yang berhasad dengki sahaja suka buat kerja-kerja mungkar. Kemudian kita akan nampak apa matlamat berpuasa agar bertakwa, sebab hanya orang yang takut kepada Allah sahaja akan takut nak simpan hasad dengki sebab mereka percaya Allah nampak apa yang tersembunyi dalam dada mereka.

Begitulah juga dengan ibadat-ibadat lain yang tercatat dalam Al Quran yang sudah pasti ke arah melawan hasad dengki. Namun bila sesuatu generasi itu sudah tidak tahu apa matlamat mereka beragama, maka mereka main pakai turut sahaja ajaran bapa-bapa mereka dan dalam masa yang sama mereka berhasad dengki sesama sendiri.

Bila Allah uji mereka dengan membangkitkan seseorang Rasul yang menyampaikan ayat-ayat Allah tanpa mengharapkan upah, itu pun mereka nak mendengki. Bukannya Rasul itu minta duit, pangkat dan harta-benda daripada mereka pun, cuma hanya nak tolong bezakan apa itu benar dan apa itu bathil. Begitulah keadaan sesuatu kaum bila hasad dengki mereka sudah tidak boleh dikawal lagi.

Akan tiba suatu masa nanti, kaum yang hasad dengki tidak boleh dipadam lagi akan didatangkan azab banjir besar kerana api dengki yang sudah marak terbakar hanya boleh dipadam dengan air sahaja. Itulah sunnah alam kepada kaum yang mendengki sesama sendiri.

2 comments:

  1. Salam selamat sejahtera wahai hamba Allah yang telah mendapat rahmat dan berkah-Nya.

    Yang benar,

    Abdul Kahar Bin Ahmad

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera kembali wahai insan yang diutuskan oleh Allah.

    Terima kasih kerana sudi mengunjungi teratak buruk ini.

    ReplyDelete