Wednesday, October 21, 2009

Belajar Menerima Perbezaan

39:17. Orang-orang yang menjauhi daripada menyembah Thagut, dan berkesesalan kepada Allah, bagi mereka berita gembira. Maka kamu berilah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku,

39:18. Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda.

Iblis adalah makhluk yang tidak boleh menerima perbezaan. Apabila Allah ciptakan Adam daripada tanah, iblis merasa dengki terhadap Adam kerana merasakan dirinya yang diciptakan daripada api itu lebih baik.

Dengan belajar menerima perbezaan, manusia akan hidup berharmoni dan menjauhi kepuakan serta perpecahan. Sebab itu Allah mengajar manusia agar mendengar ucapan, kemudian pilihlah yang paling baik. Bukannya bila berbeza pendapat, terus menghukum orang lain tidak betul atau terpesong.

Umat Islam sekarang menjadi golongan yang suka berpecah-belah kerana mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat terutama dalam ajaran nenek moyang yang mereka terima. Asal sahaja berbeza pendapat, terus berpuak-puak dan menghukum orang lain kafir. Macam manalah umat Islam nak bersatu dan menjadi maju?

Pedoman Al Quran yang banyak dan berguna itu bukannya mereka nak ikut, perangai iblis yang tidak boleh menerima perbezaan itu juga yang mereka taati. Apakah mereka sedang menuju jalan ke neraka?

Thursday, October 15, 2009

Janji...Memungkiri atau Menepati?

48:10. Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa memungkiri sumpahnya, hanyalah memungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa menepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan memberinya upah yang besar.

Perjanjian adalah suatu yang bermakna di sisi Allah. Ini kerana apa jua organisasi yang dibina, jika ahli-ahlinya jenis memungkiri janji, pasti akan runtuh. Kerana itulah, demi memelihara alam semesta ini, Allah bertindak tegas kepada orang-orang yang memungkiri janji.

Mahatari telah berjanji untuk mengeluarkan cahayanya mengikut waktu yang Allah izinkan. Bulan telah berjanji untuk mengelilingi bumi agar di waktu malam, cahaya pantulannya membantu manusia berjalan serta memudahkan manusia mengira musim. Dan bumi telah berjanji untuk memberi penghidupan yang baik kepada manusia. Namun apabila ada manusia-manusia yang memungkiri janji, maka datanglah azab Allah sebagai pengajar bagi manusia lain agar tidak mengulangi perkara yang sama.

Namun, manusia sering lalai dengan pengajaran yang telah berlaku kepada manusia terdahulu. Akibat malas berfikir dan melihat sunnah, mereka merasakan bukan perkara yang besar menyalahi janji, apatah lagi janji setia kepada Allah. Apakah Allah akan membiarkan ramai manusia memungkiri janji tanpa sebarang pembalasan?

Monday, October 5, 2009

Berjuang Menegakkan Keadilan

5:8. Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Janganlah kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlaku-adillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah menyedari apa yang kamu buat.

- orang beriman itu penegak keadilan.

- orang beriman tidak berpuak-puak dalam beragama yang mendorong kebencian kepada sesuatu puak yang berbeza.

- keadilan untuk semua sebagai jalan dekat kepada takwa.

- Allah sentiasa monitor apa yang semua manusia buat. Oleh itu takutilah Dia dan jangan sekali-kali mendustai agama Allah semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi.