Wednesday, October 21, 2009

Belajar Menerima Perbezaan

39:17. Orang-orang yang menjauhi daripada menyembah Thagut, dan berkesesalan kepada Allah, bagi mereka berita gembira. Maka kamu berilah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku,

39:18. Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda.

Iblis adalah makhluk yang tidak boleh menerima perbezaan. Apabila Allah ciptakan Adam daripada tanah, iblis merasa dengki terhadap Adam kerana merasakan dirinya yang diciptakan daripada api itu lebih baik.

Dengan belajar menerima perbezaan, manusia akan hidup berharmoni dan menjauhi kepuakan serta perpecahan. Sebab itu Allah mengajar manusia agar mendengar ucapan, kemudian pilihlah yang paling baik. Bukannya bila berbeza pendapat, terus menghukum orang lain tidak betul atau terpesong.

Umat Islam sekarang menjadi golongan yang suka berpecah-belah kerana mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat terutama dalam ajaran nenek moyang yang mereka terima. Asal sahaja berbeza pendapat, terus berpuak-puak dan menghukum orang lain kafir. Macam manalah umat Islam nak bersatu dan menjadi maju?

Pedoman Al Quran yang banyak dan berguna itu bukannya mereka nak ikut, perangai iblis yang tidak boleh menerima perbezaan itu juga yang mereka taati. Apakah mereka sedang menuju jalan ke neraka?

Thursday, October 15, 2009

Janji...Memungkiri atau Menepati?

48:10. Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa memungkiri sumpahnya, hanyalah memungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa menepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan memberinya upah yang besar.

Perjanjian adalah suatu yang bermakna di sisi Allah. Ini kerana apa jua organisasi yang dibina, jika ahli-ahlinya jenis memungkiri janji, pasti akan runtuh. Kerana itulah, demi memelihara alam semesta ini, Allah bertindak tegas kepada orang-orang yang memungkiri janji.

Mahatari telah berjanji untuk mengeluarkan cahayanya mengikut waktu yang Allah izinkan. Bulan telah berjanji untuk mengelilingi bumi agar di waktu malam, cahaya pantulannya membantu manusia berjalan serta memudahkan manusia mengira musim. Dan bumi telah berjanji untuk memberi penghidupan yang baik kepada manusia. Namun apabila ada manusia-manusia yang memungkiri janji, maka datanglah azab Allah sebagai pengajar bagi manusia lain agar tidak mengulangi perkara yang sama.

Namun, manusia sering lalai dengan pengajaran yang telah berlaku kepada manusia terdahulu. Akibat malas berfikir dan melihat sunnah, mereka merasakan bukan perkara yang besar menyalahi janji, apatah lagi janji setia kepada Allah. Apakah Allah akan membiarkan ramai manusia memungkiri janji tanpa sebarang pembalasan?

Monday, October 5, 2009

Berjuang Menegakkan Keadilan

5:8. Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Janganlah kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlaku-adillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah menyedari apa yang kamu buat.

- orang beriman itu penegak keadilan.

- orang beriman tidak berpuak-puak dalam beragama yang mendorong kebencian kepada sesuatu puak yang berbeza.

- keadilan untuk semua sebagai jalan dekat kepada takwa.

- Allah sentiasa monitor apa yang semua manusia buat. Oleh itu takutilah Dia dan jangan sekali-kali mendustai agama Allah semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi.

Wednesday, September 23, 2009

Kedatangan Petunjuk Allah

2:38. Kami berkata, "Turunlah kamu keluar darinya, kesemuanya. Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, dan sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

- sejak Adam dan keturunan manusia keluar dari syurga, Allah berjanji mendatangkan petunjukNya kepada manusia.
- dengan petunjuk itu, manusia tidak akan ketakutan dan tidak bersedih.

Petunjuk Allah umpama cahaya matahari yang membolehkan warna hitam dan putih dibezakan. Dengan adanya petunjuk Allah, manusia akan tahu menilai buruk-baik sesuatu perkara. Bila manusia itu tahu menilai, maka tiada lagi ketakutan dan bersedih dalam kehidupannya. Dengan kata lain, petunjuk Allah menjadikan jiwa manusia itu kental dan berani menghadapi kematian.

Friday, September 18, 2009

Kembali Kepada Fitrah

30.30. Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

- agama Allah yang lurus adalah menurut fitrah Allah menciptakan manusia
- fitrah itu terus kekal.

Oleh kerana itu, ia boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana kebenaran sesuatu ajaran agama. Ajaran yang lari daripada fitrah itu bukan lagi dikira agama Allah.

Ada manusia menyempitkan agama untuk bermegah-megahan kononnya dengan mengikut sesuatu cara, mereka itulah Islam. Walhal apa yang mereka tetapkan itu menyebabkan agama Islam kelihatan berunsur Arab (kerana mereka nampak Islam itu pada lahiriah Nabi Muhammad seorang yang berbangsa Arab).

Sedangkan bangsa-bangsa lain pun Allah cipta menurut fitrah juga. Maka apakah menjadi kesalahan untuk beragama Islam dengan mengikut fitrah sesuatu bangsa yang mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri?

Yang baik dan benar itu, datangnya daripada Allah. Maka ambillah yang terbaik itu tanpa mengira dari kaum, puak, bangsa atau negara mana sekali pun kebenaran itu didatangkan.

Wednesday, September 16, 2009

Iblis Telah Dilaknati oleh Allah

38:77. Berkata, "Maka keluarlah kamu darinya; kamu direjam.

38:78. Ke atas kamu laknat-Ku hingga Hari Agama (Pengadilan)."

- Laknat Allah terhadap iblis hanya kerana iblis berbangga diri merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.

Allah melaknati kaum yang berbangga diri kononnya mereka sahajalah Islam dan memandang kaum lain sebagai kafir. Mereka menyempitkan agama supaya Islam itu dilihat berunsur Arab sahaja dan mengatakan sesiapa yang tidak mengikut cara mereka itu adalah kafir.

Itulah tipu daya syaitan yang menyebabkan agama Allah menjadi sempit dan manusia bermusuh-musuhan atas nama agama. Maka syaitan akan bergembira kerana berjaya menyesatkan ramai manusia dengan hanya menjadikan manusia itu berbangga diri dengan golongan mereka dan hidup berpecah-belah.

Monday, September 14, 2009

Kenapa Iblis Membangkang?

15.32. Allah berfirman: "Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak bersama-sama mereka yang sujud itu?"

15.33. Berkata Iblis: "Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.


38.75. Allah berfirman: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu termasuk orang-orang yang tinggi?."

38.76. Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, karena Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah."


17.61. Dan, tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia (iblis) berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"


7.12. Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah."


- iblis membangkang disuruh taat pada Adam kerana merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.

- iblis hanya gunakan sangkaan nafsunya dengan menganggap diciptakan daripada api itu lebih baik daripada tanah.


Orang yang berbangga diri, selalu menganggap apa yang ada pada dirinya untuk bermegah dan memandang hina orang lain. Bangga diri inilah punca iblis membantah suruhan Allah. Dia tidak mahu mengalah dengan Adam sedangkan Adam dilebihkan kerana dia memiliki lebih banyak pengetahuan berbanding para malaikat.


Manusia yang gagal mengawal dirinya daripada berbangga diri akan jadi orang yang bongkak dan sombong dengan ayat-ayat Allah. Mereka tidak akan percaya kepada ayat-ayat Allah akibat pintu hatinya telah tertutup dan tidak mampu menilai buruk-baik sesuatu perkara lagi. Itulah hati yang kegelapan.