Wednesday, September 23, 2009

Kedatangan Petunjuk Allah

2:38. Kami berkata, "Turunlah kamu keluar darinya, kesemuanya. Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, dan sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

- sejak Adam dan keturunan manusia keluar dari syurga, Allah berjanji mendatangkan petunjukNya kepada manusia.
- dengan petunjuk itu, manusia tidak akan ketakutan dan tidak bersedih.

Petunjuk Allah umpama cahaya matahari yang membolehkan warna hitam dan putih dibezakan. Dengan adanya petunjuk Allah, manusia akan tahu menilai buruk-baik sesuatu perkara. Bila manusia itu tahu menilai, maka tiada lagi ketakutan dan bersedih dalam kehidupannya. Dengan kata lain, petunjuk Allah menjadikan jiwa manusia itu kental dan berani menghadapi kematian.

Friday, September 18, 2009

Kembali Kepada Fitrah

30.30. Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

- agama Allah yang lurus adalah menurut fitrah Allah menciptakan manusia
- fitrah itu terus kekal.

Oleh kerana itu, ia boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana kebenaran sesuatu ajaran agama. Ajaran yang lari daripada fitrah itu bukan lagi dikira agama Allah.

Ada manusia menyempitkan agama untuk bermegah-megahan kononnya dengan mengikut sesuatu cara, mereka itulah Islam. Walhal apa yang mereka tetapkan itu menyebabkan agama Islam kelihatan berunsur Arab (kerana mereka nampak Islam itu pada lahiriah Nabi Muhammad seorang yang berbangsa Arab).

Sedangkan bangsa-bangsa lain pun Allah cipta menurut fitrah juga. Maka apakah menjadi kesalahan untuk beragama Islam dengan mengikut fitrah sesuatu bangsa yang mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri?

Yang baik dan benar itu, datangnya daripada Allah. Maka ambillah yang terbaik itu tanpa mengira dari kaum, puak, bangsa atau negara mana sekali pun kebenaran itu didatangkan.

Wednesday, September 16, 2009

Iblis Telah Dilaknati oleh Allah

38:77. Berkata, "Maka keluarlah kamu darinya; kamu direjam.

38:78. Ke atas kamu laknat-Ku hingga Hari Agama (Pengadilan)."

- Laknat Allah terhadap iblis hanya kerana iblis berbangga diri merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.

Allah melaknati kaum yang berbangga diri kononnya mereka sahajalah Islam dan memandang kaum lain sebagai kafir. Mereka menyempitkan agama supaya Islam itu dilihat berunsur Arab sahaja dan mengatakan sesiapa yang tidak mengikut cara mereka itu adalah kafir.

Itulah tipu daya syaitan yang menyebabkan agama Allah menjadi sempit dan manusia bermusuh-musuhan atas nama agama. Maka syaitan akan bergembira kerana berjaya menyesatkan ramai manusia dengan hanya menjadikan manusia itu berbangga diri dengan golongan mereka dan hidup berpecah-belah.

Monday, September 14, 2009

Kenapa Iblis Membangkang?

15.32. Allah berfirman: "Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak bersama-sama mereka yang sujud itu?"

15.33. Berkata Iblis: "Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.


38.75. Allah berfirman: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu termasuk orang-orang yang tinggi?."

38.76. Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, karena Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah."


17.61. Dan, tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia (iblis) berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"


7.12. Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah."


- iblis membangkang disuruh taat pada Adam kerana merasakan dirinya lebih baik daripada Adam.

- iblis hanya gunakan sangkaan nafsunya dengan menganggap diciptakan daripada api itu lebih baik daripada tanah.


Orang yang berbangga diri, selalu menganggap apa yang ada pada dirinya untuk bermegah dan memandang hina orang lain. Bangga diri inilah punca iblis membantah suruhan Allah. Dia tidak mahu mengalah dengan Adam sedangkan Adam dilebihkan kerana dia memiliki lebih banyak pengetahuan berbanding para malaikat.


Manusia yang gagal mengawal dirinya daripada berbangga diri akan jadi orang yang bongkak dan sombong dengan ayat-ayat Allah. Mereka tidak akan percaya kepada ayat-ayat Allah akibat pintu hatinya telah tertutup dan tidak mampu menilai buruk-baik sesuatu perkara lagi. Itulah hati yang kegelapan.

Sunday, September 13, 2009

Taat Pada Kebijaksanaan

2:34. Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia menjadi antara orang-orang yang tidak percaya (kafir).

- siapa yang lebih bijak dan lebih tahu, maka Allah perintahkan makhluk-makhlukNya mentaati orang tersebut.

- hanya iblis dan seumpanya sahaja tidak tunduk kepada kebijaksanaan kerana mereka sombong kepada Allah yang memberi kebijaksanaan kepada sesiapa yang berusaha hendak jadi bijak.

Adam menjadi bijak bukan kerana dia hidup bermalas-malasan. Tetapi kerana ada inisiatifnya untuk belajar dengan Allah untuk mengetahui perihal kehidupan sehingga dia memiliki kebijaksanaan dan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh malaikat.

Orang yang bijak, dia suka orang lain bijak sama kerana dia boleh belajar dengan banyak sumber. Tetapi orang yang bodoh, mereka dengki bila melihat ada orang lagi bijak daripadanya kerana nanti dia tidak boleh menipu-daya. Itulah yang dikatakan bodoh sombong.

Iblis jadi kafir hanya kerana sombong kepada kebijaksanaan Adam. Itu sahaja puncanya dia dimasukkan dalam golongan kafir. Jadi, jika ada manusia itu membazir hayatnya di dunia untuk sombong dengan kebijaksanaan seseorang manusia walaupun dia mengaku Islam, tetaplah mereka tergolong bersama-sama iblis.

Alangkah ruginya manusia yang sibuk berbalah-balah pasal ranting-ranting agama kononnya nak memastikan mereka lebih Islamik tetapi hidup dalam kebodohan dan sombong pada kebijaksanaan. Sebab hakikatnya mereka tiada bezanya dengan iblis yang dikatakan asalnya lebih banyak beribadat berbanding malaikat.

Hasad Dengki Perosak Perpaduan dan Kemajuan

Hasad dengki adalah musuh utama yang harus manusia lawan. Oleh kerana ia terletak dalam hati masing-masing, maka tiada siapa boleh membantu manusia itu untuk melawan hasad dengki, melainkan dirinya sendiri.

Hasad dengki adalah perosak perpaduan dan kemajuan. Sesuatu kaum tidak akan bersatu-padu dan maju jika hasad dengki mereka semakin membakar. Mereka akan berusaha untuk jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain bagi memuaskan hawa nafsu sendiri. Mereka tidak boleh bersepakat untuk membuat tindakan bersama bagi memajukan sesama mereka. Bila mereka lihat ada saudaranya yang dilebihkan kurniaan daripada Allah kerana kerja kerasnya, golongan pendengki itu berusaha menjatuhkannya.

Kejayaan kaum Cina di negara kita hanya disebabkan keupayaan mereka melawan hasad dengki dalam diri mereka masing-masing. Sehingga mereka boleh berganding bahu memperjuangkan legasi kaum mereka yang asalnya pendatang. Begitulah yang mereka pelajari dari kejayaan kaum Yahudi di Israel sana. Asal keturunan Israil itu juga adalah pendatang di Palestin, tetapi kerana ketika itu orang yang mengaku Islam di sana kuat mendengki sesama sendiri (malah sehingga ke hari ini), mudah keturunan Israil sana menguasai sebahagian tanah yang kini menjadi negara mereka.

Oleh itu patutkah kita salahkan mereka atas usaha kuat mereka melawan penyakit hasad dengki? Sepatutnya kita belajar daripada mereka macam mana mereka boleh berjaya. Satu perkara yang memalukan orang Islam hari ini, mereka ada Al Quran yang ajar bagaimana cara melawan hasad dengki, tetapi sesama mereka saling berdengki. Kemudian melihat kejayaan kaum lain pun mereka dengki. Betapa kotornya hati mereka. Macam manalah Allah nak tolong orang Islam hari ini sebab apa yang Allah ajar dalam Al Quran tidak mahu mereka ikut?

Di sinilah pentingnya kita belajar kenal diri sehingga kita mampu melawan hasad dengki sebelum penyakit itu merosakkan jiwa kita sendiri, kerana yang nampak dalam hati kita adalah kita sendiri. Manusia yang mati bersama penyakit hasad dengki tetap akan masuk neraka biarpun mereka mengaku Islam. Jika mereka menganggap dengan akuan Islam mereka sudah cukup mengharapkan syurga biarpun hati penuh kedengkian, sudah pasti tidak adil bagi iblis yang mendengki tetapi masuk neraka. Jadi atas Keadilan Allah, samada manusia itu mengaku Islam atau tidak, asalkan mereka mati dalam keadaan berhasad dengki, pasti mereka akan masuk neraka. Melainkan mereka yang berjuang ke arah melawan penyakit hati, maka tiada keraguan dan ketakutan kepada mereka untuk menemui mati.

Bila kita faham bahawa hasad dengki ini musuh utama, maka kita akan faham seluruh ajaran Al Quran. Kenapa kita disuruh bersolat yang matlamatnya agar kita mencegah kemungkaran? Sebab hanya orang yang berhasad dengki sahaja suka buat kerja-kerja mungkar. Kemudian kita akan nampak apa matlamat berpuasa agar bertakwa, sebab hanya orang yang takut kepada Allah sahaja akan takut nak simpan hasad dengki sebab mereka percaya Allah nampak apa yang tersembunyi dalam dada mereka.

Begitulah juga dengan ibadat-ibadat lain yang tercatat dalam Al Quran yang sudah pasti ke arah melawan hasad dengki. Namun bila sesuatu generasi itu sudah tidak tahu apa matlamat mereka beragama, maka mereka main pakai turut sahaja ajaran bapa-bapa mereka dan dalam masa yang sama mereka berhasad dengki sesama sendiri.

Bila Allah uji mereka dengan membangkitkan seseorang Rasul yang menyampaikan ayat-ayat Allah tanpa mengharapkan upah, itu pun mereka nak mendengki. Bukannya Rasul itu minta duit, pangkat dan harta-benda daripada mereka pun, cuma hanya nak tolong bezakan apa itu benar dan apa itu bathil. Begitulah keadaan sesuatu kaum bila hasad dengki mereka sudah tidak boleh dikawal lagi.

Akan tiba suatu masa nanti, kaum yang hasad dengki tidak boleh dipadam lagi akan didatangkan azab banjir besar kerana api dengki yang sudah marak terbakar hanya boleh dipadam dengan air sahaja. Itulah sunnah alam kepada kaum yang mendengki sesama sendiri.

Saturday, September 12, 2009

Allah Mengetahui Yang Ghaib

2:33. Dia berkata, "Wahai Adam, beritahu mereka nama-namanya", maka setelah dia memberitahu mereka nama-namanya, Dia berkata, "Tidakkah Aku mengatakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib di langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu menampakkan dan apa yang kamu menyembunyikan?"

- Allah lebih mengetahui perkara-perkara ghaib di langit dan bumi.
- Allah nampak apa yang makhlukNya nampak dan apa yang makhlukNya sembunyikan.

Ilham-ilham yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana manusia itulah menunjukkan yang Allah Memiliki ilmu yang luas yang manusia tidak nampak (ghaib) tentang hakikatnya.

Oleh itu jangan cepat menolak sesuatu ilmu yang disampaikan oleh orang lain. Barangkali orang itu telah diajar oleh Allah yang belum pernah diajar kepada mana-mana manusia lain.

Allah nampak apa yang tersembunyi dalam hati manusia. Perasaan ego, dengki, dendam dan benci yang tersemat dalam hati semuanya Allah tahu. Tetapi ada manusia yang tidak yakin Allah nampak itu semua sehingga mereka tidak takut apa yang mereka sembunyikan dalam hati itu akan dibalasi.

Allah akan cabut kebahagiaan hidup dalam orang yang berpenyakit hati itu sehingga mereka merasakan kehidupan yang resah, panas, takut dan tidak tenang jiwa. Itulah balasan kepada kaum yang berdusta dengan ego atas anutan agamanya.


Memahami Cinta.

Memahami erti cinta sebenarnya adalah cara terbaik untuk mengenal Allah dan mengenal apa erti perjuangan hidup yang sebenar.

Cinta itu seumpama api. Jika digunakan pada cara yang betul, ia mampu memberi manfaat yang besar, bukan pada diri seseorang manusia malah kepada masyarakat. Tetapi jika di luar kawalan, maka ia akan bertukar menjadi nafsu yang membawa kehancuran.

Cinta yang dikawal kepanasannya samalah seperti kita mengawal api dapur agar masakan tidak hangus dan tidak menjadi hitam. Api dapur perlu dikawal agar mencapai tahap kematangan yang sesuai bagi sesuatu masakan (tidak terlalu mentah dan tidak terlalu hangus). Macam itulah cinta perlu dikawal kehangatannya agar mencapai tahap kematangan yang sesuai. Barulah hasil cinta itu dapat dinikmati dengan enak seperti masakan yang dimasak dengan kawalan api yang betul.

Kehidupan kita di dunia ini seumpama mengawal api cinta. Jangan dipadamkan api itu yang menyebabkan hati kita keras membatu atau jangan dibesarkan api cinta itu sehingga hangus diri terbakar oleh nafsu. Gunakan kebijaksanaan masing-masing mengawal api cinta agar kita semakin matang menempuh kehidupan.

ALLAH YANG MENGAJAR

2:32. Mereka berkata, "Engkau disanjung! Kami tidak ada pengetahuan melainkan apa yang Engkau telah mengajar kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana."

- Sesuatu ilmu pengetahuan yang sampai kepada sesuatu makhluk, diajar oleh Allah.

- Atas Kuasa Allah mengajar sesiapa yang Dia kehendaki sesuai dengan kesanggupan makhluk-makhluk itu untuk memikul ilmu Allah.

Ramai manusia tidak sedar, yang memberi petunjuk (ilham) sehingga mereka mampu mengenal beza sesuatu perkara adalah Allah. Oleh kerana mereka belajar dari seseorang cikgu, maka manusia itu anggap cikgu itulah yang mengajar. Hakikatnya cikgu itu hanya tukang sampaikan maklumat. Yang mengizinkan seseorang manusia itu faham maklumat yang disampaikan adalah urusan Allah. Sebab itulah ada manusia mudah capai kefahaman dan ada manusia yang susah nak faham biarpun belajar daripada cikgu yang sama.

Semua makhluk Allah belajar dengan Allah. Malaikat pun sentiasa belajar dengan Allah. Oleh kerana alam semesta ini berkembang, pastilah ilmu yang Allah ajar pada makhluk-makhlukNya pun berkembang. Sebab itulah kita lihat, ilmu yang manusia miliki semakin berkembang dengan terciptanya teknologi yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

Kita tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Bagaimana tahap ilmu dan teknologi yang mampu dicapai oleh manusia. Ini kerana tahap pemikiran manusia akan sentiasa berkembang selagi ada manusia yang bersemangat untuk belajar dengan Allah.

Kita tidak akan mampu mengetahui sesuatu perkara melainkan apa yang telah Allah ajar. Oleh itu hidup kita perlulah sentiasa mengharapkan tunjuk ajar Allah. Barulah kita akan hidup selari dengan apa yang Allah tetapkan.

Friday, September 11, 2009

Kemegahan Durjana...

Kemegahan melalaikan kita

Sehingga tidak tahu tujuan dicipta

Melihat diri dengan kebanggaan

Sehingga bertindak ikut perasaan

Kemegahan menutup pintu cahaya

Sehingga hati menjadi buta

Tidak tahu untuk membeza

Buruk dan baik dilihat sama

Kemegahan menyempitkan dada

Melihat manusia lain lebih hina

Yang jelas benar tidak diterima

Sehingga menurut sesuatu yang dusta

Kemegahan menjadikan lupa

Tuhan yang dekat dirasa tiada

Diberi nikmat, hati gembira

Diberi azab, mulut mencela

Belajar Untuk Hidup.


2:31. Dan Dia mengajar Adam nama-nama, kesemuanya, kemudian Dia mengemukakannya kepada para malaikat. Dia berkata, "Sekarang beritahu Aku nama-nama ini semua, jika kamu berkata benar."

- Allah mengajar manusia mengenal nama-nama (hakikatnya semua ilmu datang daripada Allah).

- Mengenal nama-nama tertentu bukan setakat menghafal, sebaliknya kena tahu membezakan sifat sesuatu nama-nama.

Dalam diri setiap manusia ada pembeza (Furqaan) untuk mengenal sesuatu benda atau perkara. Namun bergantung sejauh mana mati hatinya melihat.

Contohnya antara benang hitam dan benang putih, perbezaannya pada sifat warnanya. Manusia yang mampu membezakan baik-buruk sesuatu perkara adalah manusia yang terang hatinya kerana ada cahaya Allah seperti mana cahaya matahari membezakan benang hitam dan putih. Jika di dalam malam yang pekat, benang hitam dan putih tidak dapat dibezakan, begitulah hati yang kegelapan tidak dapat membezakan baik-buruk sesuatu perkara.

Jadilah insan yang terang mata hatinya agar mudah membezakan buruk-baik sesuatu perkara. Bila kita mudah mengenal beza buruk dan baik, maka mudah untuk membawa hala tuju hidup kita ke jalan yang lurus tanpa tersesat. Macam kita memandu kereta, bila kita tahu membezakan arah kiri dan kanan, maka kita mudah sampai ke destinasi tanpa tersesat.

Wednesday, September 9, 2009

Matlamat Hidup

2:30. Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, "Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti)." Mereka berkata, "Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, sedang kami menyanjung dengan memuji-Mu dan memanggil Engkau Suci?" Dia berkata, "Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu."

- Manusia diciptakan sebagai pengganti.

- Menggantikan makhluk yang sebelumnya membuat kerosakan dan menumpahkan darah.

Oleh itu kita dihidupkan untuk melakukan kebaikan, memperbaiki sesuatu yang telah dirosakkan dan menyatukan sesama manusia agar manusia tidak berbunuh-bunuhan sesama sendiri sesuai dengan maksud "pengganti". Tidak logik pengganti itu lebih buruk daripada apa yang diganti.

Sekarang ini kita lihat di merata dunia manusia melakukan kerosakan dan pembunuhan. Ini sudah lari dari matlamat asal manusia diciptakan. Seharusnya kita kena memikirkan bagaimana mencari jalan agar manusia dapat disatukan kembali.

Penyebab utama manusia berbunuh-bunuhan sekarang adalah kerana agama. Pada punca inilah kita harus merawatinya.